Di Pusat Jagaan Ramya Balan yang bertempat di Parit Unas, Muar, lebih kurang 20 hingga 25 orang warga emas dan OKU yang menghuni secara tetap. Mereka ini duduk di bawah satu bumbung dan tinggal bersama.
Ketika saya dan Pejabat Parlimen Muar datang melawat, kebanyakan daripada warga penghuni sedang berehat santai selepas makan tengahari. Saya berjumpa dengan pengusaha pusat jagaan ini, En Ramya dan bertanya khabar, apa yang kami boleh bantu dan bagaimana mereka menguruskan pusat jagaan sewaktu musim wabak ini melanda.
Saya juga telah berbincang dengan Pejabat Parlimen Muar bagi memastikan kebajikan pusat jagaan ini terus dapat dipantau dan dijaga. Antara perkara yang mustahak adalah bantuan kerusi roda dan sumbangan makanan. Pejabat Parlimen Muar boleh bantu.
Saya juga sempat bertemu dan berbual dengan penghuni pusat jagaan ini. Mereka semua nampak sihat-sihat belaka dan gembira kerana ada yang datang melawat. Mungkin rasa sunyi itu hilang sedikit melihat saya dan anggota Pejabat Parlimen Muar datang menjenggah.
Apa-apapun, saya juga merasa lega melihat kebajikan mereka terjaga. Penghuni di sini juga ada macam-macam latar belakang keluarga, bangsa dan agama. Tetapi, mereka semua dapat tinggal bersama dan meraikan pertalian antara warga.
Saya dan Pejabat Parlimen Muar akan turun ke beberapa pusat jagaan warga tua dan OKU lagi di sekitar Muar dan memastikan tiada satu di antara kita semua yang akan merasa susah, terutamanya dalam tempoh wabak pandemik yang melanda.
Jika ada di antara anda yang mengurus atau tahu mengenai pusat jagaan warga tua dan OKU di sekitar rumah anda di Muar, boleh juga maklumkan kepada saya dan Pejabat Parlimen Muar supaya kami dapat bantu dengan lebih cepat dan segera. Kita saling bantu membantu.